.
Biarlah YM Berbicara - Bab 14 3:02 PM

ANGIN petang yang nyaman
membuai perasaan. Asyiknya…
Lagi lama aku kat sini, rasarasanya
boleh lena. Rakan sekerja yang lain sudah hilang
mencari haluan masing-masing, seusai sesi taklimat oleh Kak
Lisa sebentar tadi.
Sampul di tangan, aku letak di atas meja. Taklimat
ringkas daripada Kak Lisa. Acara kemuncak untuk Hari Mesra
Pekerja. Aku pandang sampul surat dengan tidak bersemangat.
TRESURE HUNT: PERFECT PARTNER WILL WIN IT
Aku mengeluh perlahan. Ada sahaja idea Kak Lisa
ni. Penat bermain bola tampar pantai tadi pun belum hilang
lagi. Sudahlah penat, kalah pula tu. Ini, nak kena kejar ke
sana, kejar ke sini pula. Berpasangan pula tu. Pasangan aku?
Entah. Aku pun tak tahu. Sampul yang Kak Lisa berikan pun,
aku masih belum buka. Tapi, tak kisahlah siapa dia pasangan
aku. Bukan penting pun.

“Hai… mengantuk nampak?”
Aku tersenyum.
Kak Lisa turut tersenyum. Perlahan dia melabuhkan
punggung di hadapanku.
“Penatlah kak.”
“Alah! Orang muda macam awak pun, penat ke?”
“Mahu tak penat? Dah dua hari, program packed.
Akak ni, nak dera kita orang ya?”
Kak Lisa tergelak. “Mana ada? I tengok orang lain
semuanya enjoy. Sesekali macam ni, apa salahnya. Bukan
selalu pun.”
“Yalah… saya ni kurang stamina, kak.” Aku
menjawab sambil tersenyum.
“Tak buka lagi ke, tengok siapa partner awak?”
“Belum. Nanti-nantilah. Nak rehat kejap. Berangin
macam ni, kalau berangan, best juga ni.”
Kak Lisa tersenyum lagi sambil mencapai sampul
surat di hadapanku.
“Encik Firdaus tak masuk aktiviti ni ya, kak? Dia
tak ada pun masa akak bagi partner tadi,” soalku tiba-tiba.
Agak pelik kerana sebelum ini, dia turun padang bersama
anak-anak buahnya. Berlari ke sana sini menyiapkan
pertandingan membina istana pasir. Melompat-lompat tengah
panas bermain bola tampar pantai. Pertandingan bermain
sepak raga pun dia ikut serta sekali. Walaupun dia banyak
sepak angin daripada sepak bola. Nampak sangat tidak pernah
bermain bola sepak raga.
Aku tersenyum tiba-tiba. Terasa kelakar teringatkan
gelagat Encik Firdaus. Tapi, aku memang menghormati dia
sebagai majikan yang baik. Bukan senang hendak jumpa
majikan yang begitu mesra dengan semua orang
bawahannya. Langsung tidak meninggi diri.
“Kenapa ni? Senyum sorang-sorang?”
“Tak ada. Tiba-tiba teringat Encik Firdaus main bola
sepak angin!”
“Ha? Bola sepak angin?”
“Yalah... asal dia sepak aja, tak pernah kena bola.
Asyik kena angin aja. Nampak sangat tak reti main,” ujarku
tergelak.
Mendengar jawapanku, Kak Lisa turut tergelak.
“Oh… you mean sepak raga? Awak ni, kalau dia
dengar, dia potong gaji, baru tahu. Manalah dia pandai
permainan macam tu? Bola sepak ke, futsal ke, terrorlah dia.”
Aku tersengih. Rasa lucu masih mencuit hati.
“Bukalah,” Kak Lisa menghulurkan kepadaku
sampul yang tadinya terletak di atas meja.
Aku akur. Sampul aku buka perlahan. Melihat nama
yang tertulis di situ, mataku membulat memandang Kak Lisa.
“Akak? Kenapa pula saya dengan Encik Firdaus ni?”
soalku tidak berpuas hati. Takkan aku nak berpasangan
dengan bos pula.
“Awakkan secretary dia, so, memang patutlah awak
partner dengan dia.”
“Akak pun secretary diakan? Sepatutnya, akaklah
yang partner dengan dia. Yalah, sebelum akak pergi Sarawak.
Akak tukar ajalah. Akak ganti saya ya?” Aku memberi
pendapat yang kurasakan amat bernas.
Kak Lisa menggeleng perlahan.
“Kenapa pula?” soalku hairan.

“I cuma boleh jadi pangatur acara saja. Semua
aktiviti tu, tak sesuai untuk I?”
“Aik? Akak yang arrange semua aktiviti, tapi,
semuanya tak sesuai dengan akak? Pelik ni…”
“Yalah. Semuanya memang sesuai untuk semua
orang. Tapi, I tak boleh ikut semua aktiviti lasak ni.”
“Why?”
Kak Lisa tersenyum.
“I’m pregnant,” jawabnya lambat-lambat.
“What?” soalku terkejut. Memang berita yang
mengejutkan.
Kak Lisa mengangguk.
“Tahniah… seronoknya! Dah berapa bulan?”
“Baru lagi. So, sekarang dah tahu kenapa I tak
boleh jadi partner Encik Firdaus?”
Aku diam.
“I nak tanya awak sesuatu, Diya.”
“Apa dia?”
Kak Lisa diam seketika. Matanya memandang
wajahku. Mengamati wajahku agak lama.
Aku tersengih. Lain macam pula renungan Kak Lisa.
“Awak tahu kan?”
“Tahu? Tahu apa?”
“Semua orang boleh perasan, takkan awak tak
perasan kut?”
“Errr... saya tak fahamlah.”
“Encik Firdaus.”
“Ya? Kenapa dengan Encik Firdaus?”

“Dia memang sukakan awak.”
Mak oiii!!! Ini betul-betul berita panas ni. Betul ke?
“Tak adalah. Akak pun sama dengan Sherry ke? Saja
nak buat saya perasan? Syok sendiri? Tak baiklah kak, buat
saya macam ni…”
“Buat apa I nak bohong? I rasa awak sendiri boleh
sedar layanan dia pada awak. The way he treats you... talks to
you... pandang you. Takkan awak tak rasa apa-apa?”
Aku diam. Kalau betul kata-kata Kak Lisa ni,
bermakna betullah kata-kata Sharifah itu. Betul juga
jangkaan Johan. Aku termangu menongkat dagu.
“Awak tak suka Encik Firdaus ke?”
“Tak adalah. Tapi, tak pernah saya terfikir sampai ke
tahap tu. Tak layak saya nak fikir sampai ke tahap tu, kak.”
“Awak dah ada sesiapa ke?”
Soalan Kak Lisa kedengaran seperti merisik cerita.
Aku diam sekali lagi.
“That guy hari tu ke? Yang datang dengan motor
besar tu?”
Aku pandang wajah Kak Lisa. Dia ada ke semasa
Abang Kamal datang dulu?
“I nampak... Encik Firdaus pun nampak. Itu ke
orangnya?”
Aku terlopong. Rupa-rupanya ada yang memerhati
gelagat aku dan Abang Kamal.
“Itu sepupu sayalah,” beritahu aku akhirnya.
“Sepupu? Macam bergaduh aja I tengok.”
“Saya dengan dia memang tak serasi.”
“Kenapa dia datang cari awak?”

“Tak naklah cakap pasal dia.” Aku bersuara acuh
tidak acuh. Tidak mahu bercakap tentang Abang Kamal.
“Encik Firdaus cemburu hari tu…” beritahu Kak
Lisa lambat-lambat.
Aku cuma mampu pamer deretan gigiku pada Kak
Lisa. Topik yang Kak Lisa kemukakan cukup membuat aku
serba salah. Rasa janggal apabila dia bercerita tentang hati
dan perasaan Encik Firdaus. Perasaan padaku pula tu. Kalau
boleh aku tak nak dengar semua itu.
“Awak langsung tak ada perasaan pada Encik
Firdaus ke?”
“Kenapa akak tanya semua ni?” soalku akhirnya.
Jangan ini pun termasuk di dalam salah satu program dia,
sudah. Mahu aku isytihar perang dingin dengan Kak Lisa,
kalau ini semua cuma satu permainan. Sumpah!
“Sebab I kasihan tengok Encik Firdaus. Dia ada
beritahu I, dia sukakan awak. Tapi, awak macam tak sedar
semua tu. Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Mungkin sebab saya dah sukakan
orang lain kut.”
“Selain Encik Firdaus?”
Aku tersenyum tanda mengiakan.
“I’m wondering, macam manalah lelaki yang boleh
mengalahkan Encik Firdaus tu ya? I ingat semua gadis kat sini
memang mengimpikan Encik Firdaus jadi kekasih mereka.
Tak tahu pula awak tak termasuk dalam senarai tu.”
“No comment,” jawabku sambil tersenyum.
Kak Lisa tersenyum kecil.
“Kenapa Encik Firdaus tak ada tadi?” soalku lagi.

“Entah… katanya ada hal. Don’t worry. Dia dah
tahu awak partner dia.”
“Ha?”
“Yalah. Kan I yang arrange semuanya?”
Aku menjeling sambil tersenyum kecil. Macammacamlah
Kak Lisa ni. Senyumku mati perlahan-lahan
melihat kelibat insan yang aku kenali. Insan, yang baru sahaja
kami bicarakan tentangnya. Wajah Kak Lisa kutatap agak
lama.
“Encik Firdaus dah ada kekasih, kan?” soalku tibatiba.
“Kekasih? Maksud awak?”
“Cik Mia?”
“Oh… mereka dah lama clashlah. Kenapa?”
“Tu… bukan Cik Mia ke tu?”
Kak Lisa menoleh. Memandang ke arah yang
sedang aku pandang sekarang.
Encik Firdaus sedang berjalan-jalan dengan Mia di
tepi pantai. Siap bertepuk tampar dan bergelak ketawa lagi.
Kak Lisa cuba mempermainkan perasaan aku ke?
“Mungkin mak dan ayah dia yang jemput Mia ke
sini. Hubungan keluarga mereka berdua memang rapat.”
“Eloklah tu. Memang sepadan mereka berdua tu.”
Aku bersuara sambil terus memerhati. Melihat senyum dan
tawa Encik Firdaus pada Mia, hatiku dijentik sedikit resah.
Apatah lagi melihat mereka begitu mesra. Walaupun
kemesraan itu bukan milik aku, namun senyum dan tawa itu,
selama ini hanya untuk aku.
Tiba-tiba aku rasa terpinggir, rasa jauh hati. Rasa
macam merajuk. Merajuk apabila Encik Firdaus pamerkan
senyum dan hadiahkan renungan redupnya untuk Mia.
Sepatutnya itu semua hanya untuk aku. Aik! Peliknya
perasaanku ini.
“Setahu I, mereka dah lama berpisahlah.”
“Alah kak, berpisah kejap. Biasalah tu. Kalau dah
sama-sama masih ada rasa sayang, boleh berbaik semula. So,
akak salah fahamlah pasal perasaan Encik Firdaus tu.
Takkanlah orang macam Encik Firdaus tu, nakkan orang
macam saya ni. Nasib baik tak sempat perasan tadi!” Aku
bersuara sambil melawak. Menutup rajukku yang tiba-tiba
semakin menjadi-jadi. Kenapa pula aku rasa macam ni?
Hatiku semakin gelisah apabila langkah pasangan dua sejoli
itu, menghala ke arah kami. Rasanya, wajahku sudah
kehilangan keceriaan.
“Hai… boleh join?” sapa Encik Firdaus mesra.
Mia tersenyum di sebelahnya.
Kak Lisa mendongak.
Aku pula, menjadi patung tiba-tiba.
“Of course. Duduklah,” balas Kak Lisa bersama
senyum yang cukup lebar.
Encik Firdaus dan Mia sama-sama mengambil
tempat di hadapanku.
“Mia, ini secretary baru I, Adiya.”
Mia tersenyum.
“I kenallah. Dulu your accountant, kan? Hai Adiya…
nice to meet you again,” Mia bersuara sambil menghulurkan
tangan.
Aku menyambut tangan yang dihulur. Senyum
manis Mia aku balas dengan rasa yang kurang ikhlas. Kenapa
ni? Kenapa aku rasa macam ni?

“So, tengah sembang pasal apa?” Encik Firdaus
bertanya sambil memandang wajahku.
Aku tersenyum kecil. Buat apa pandang aku?
Pandanglah Cik Mia yang cantik tu!
“Nothing. Borak kosong sambil ambil angin petang,”
Kak Lisa menjawab soalan Encik Firdaus.
Aku menggosok-gosok leher. Mencari alasan untuk
berlalu dari situ. Tidak selesa berada di antara Encik Firdaus
dan Mia. Mataku tertancap pada Sharifah yang sedang
mengatur langkah ke arah kami. Aku tersenyum. Ada alasan.
“Maaf… saya pergi dulu ya. Sherry panggillah,”
ujarku sambil mengangkat punggung. Belum sempat
mereka bertiga bersuara, aku sudah pun bergerak laju
meninggalkan Kak Lisa, Encik Firdaus dan Mia. Separuh
berlari aku mendapatkan Sharifah.
“Kenapa ni? Aku baru nak ke sana, join korang,”
Sharifah bertanya dengan nada hairan.
“Ah! Tak payahlah. Tak best pun. Buat sakit hati aja.”
“Sakit hati kenapa pula?”
Alamak! Terluah perasaan geram kat Sharifah pula.
“Tak ada apa-apalah. Jom kita pergi minum.
Dahagalah…”
“Tu… siapa dengan Encik Firdaus tu?”
Aku menoleh. Encik Firdaus memandang ke arahku.
Cepat-cepat aku berpaling semula, menghadap muka
Sharifah.
“Kau tak nampak ke? Bukan main mesra lagi tu?
Mestilah makwe dia. Dahlah. Jom pergi minum. Kau belanja.”
“Aik! Lain macam aja bunyi jawapannya.”

“Lain macam apa pula? Betullah!”
Sharifah tersengih.
“Okey… oh… kamu ketahuan… kamu cemburu
dengan dirinya,” Sharifah menyanyi mengikut irama lagu
Ketahuan dari kumpulan Matta, membuat aku menjerit
marah. Mana ada aku cemburu?
Sharifah terus menyanyi sambil berlari apabila aku
cuba memukulnya.
Aku berhenti mengejarnya apabila rasa penat
sudah singgah di kaki. Perlahan aku duduk di atas pasir
pantai yang agak suam-suam kuku dek pancaran mentari
petang. Melihat aku sudah berhenti mengejarnya, Sharifah
berpatah balik. Turut duduk di sebelahku. Dia masih tergelak
sambil tercungap-cungap mengambil nafas. Aku menjeling.
Kemudian pandangan aku tebarkan ke tengah lautan yang
maha luas. Damainya... lebih-lebih lagi apabila bayu pantai
membelai wajah.
“Kau cemburu ya?” soal Sharifah setelah lelahnya
sedikit hilang.
Aku mencebik.
“Mana ada? Buat apa aku nak cemburu? Akukan
dah ada Charming,” jawabku sambil lewa.
“Yalah... Charming kau tak nampak. Encik Firdaus
ni, hari-hari depan kau. Kau cemburu, kan?”
“Tolong sikit! Tak ada masa la nak cemburucemburu
ni. Dahlah... cakap pasal lainlah!”
Sharifah terus tersenyum.
Tidak percayalah tu. Lantak kaulah, Sharifah!
“Siapa partner kau esok?” soalku cuba mengubah
topik perbualan.

“Johan. Kau?”
“Encik Firdaus...” jawabku lambat-lambat.
“Hah? Baguslah tu. Perfect partner tu. Tahniah!”
Aku jelirkan lidah. Rimas dengan gurauan Sharifah.
“Kita tengok siapa yang jadi perfect partner, ya. Aku
yakin, aku dengan Johan akan menang esok!” Sharifah
bersuara dengan semangat ala-ala peserta kem motivasi.
Aku tersenyum lucu.
“Tapikan, aku pelik sikitlah. Kenapa bukan Kak Lisa
yang jadi partner Encik Firdaus?” soal Sharifah tiba-tiba.
Sebab Kak Lisa nak padankan aku dengan Encik
Firdaus. Aku tersengih. Jawapan itu cuma melantun di hati
sahaja. Tidak mahu aku kongsikan cerita yang baru Kak Lisa
sampaikan tadi dengan Sharifah. Sudah dapat aku bayangkan
macam mana kecohnya Sharifah kalau dia tahu cerita Kak
Lisa. Tidak! Tidak!
“Kenapa ya?” soalnya sekali lagi.
“Kak Lisa tak boleh join aktiviti lasak macam ni.
Dia pregnantlah!”
“Hah?”
Seperti mana riak wajahku tatkala Kak Lisa
memberitahu aku sebentar tadi, begitulah juga riak wajah
Sharifah. Terkejut sakan dia. Aku tersenyum sambil
mengangguk.
“Wah! Seronoknya. Dah nak dapat baby. Patutlah
dia nak resign dan tinggal dengan husband dia. Hmmm…
berahsia pula dia dengan kita ya?”
Aku terus tersenyum mendengar Sharifah
mengomel.

10 comments:

Nur said...

ending adiya dgn spe?? spe charming??

Anonymous said...

saya rase..firdaus n charming tu org yang same...kompem punyer...yakin dan pasti..so diya akan dapat firdaus n charminglah...

tun said...

saya pun rse mcm 2... chaiyok2, en. firdaus!!!

Anonymous said...

huhu...watak K.Lisa hmpir sama ngan K.Fazura...huhu..hmpir sama ngan my story...

Anonymous said...

saya rasa pon mcm en. firdaus n charming org yg sama..

Anonymous said...

sy kompem en firdaus 2 la charming..xde y len da....klu xcye, kt tgk smpe akhir k!!hehhehe

risya said...

arap2 la prince 2 en daus mmg die pon tpi kurang asm tul la en daus 2 kalo btul die la..
mst die taw gan spe die ym cian kat diya sbb x taw pe2..psl 2 ckp suka kat diya gan cnfident gler da mmg knal ..

Anonymous said...

dah memiliki novel nie...5x baca pun masih x jemu2 lagi
tahniah...la ni tggu Biarlah YM Terus berbicara...

Anonymous said...

ayoyo...kan dh bleh agk dh sape charming tu...x yah bce smpai abes p0wn dh taw...:)

ryani said...

sye suka ceter ni...tp sya da banyak kali trycr xjmpa..suma kdai buku kata dah hbs..
sedih..

Post a Comment

Pembelian Secara Online

Anda Boleh membeli secara online melalui ((klik disini))