.

Biarlah YM Berbicara - Bab 4 3:32 PM

AKU termenung di balkoni sambil
mata tertancap pada gelagat
Sharifah yang tersengih sendiri
di hadapan komputer. Leka melayan teman-teman mayanya.
Aku berpaling. Menghadap pada kegelapan malam. Sesekali
melihat panorama malam di Bandar Raya Shah Alam ni,
mendamaikan juga. Bolehlah mendamaikan hati aku yang
tengah bergelora ini. Entah gelora apa yang melanda, aku
pun tak tahu. Gelora rindu ke? Gelora asmara ke? Entahlah…
yang pasti bait-bait puitis lagu yang ditujukan padaku,
melalui e-mel dua hari lalu, betul-betul buat aku jadi angau.
Yang sedihnya aku angau sorang-sorang.
Kad ucapan berisi bahasa puitis lagu Dealova, yang
aku cetak dua hari lalu, kubiarkan sepi di atas meja. Sudah
berpuluh kali kubaca dan sudahnya aku terbuai di dalam
dunia indah yang sementara. Bila terjaga, aku sedar, aku
sedang menyeksa perasaan sendiri. Kejam sungguh perasaan
ini!

Aku ingin menjadi mimpi indah dalam
tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa
kau rindu
Karena langkah merapuh… tanpa dirimu
Karena hati telah letih
Aku ingin menjadi sesuatu
Yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu, bahawa aku selalu
memujamu
Tanpamu... sepinya waktu
Merantai hati
Bayangmu seakan-akan
Kau seperti nyanyian dalam hatiku yang
memanggil
Rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela… kau selalu ada
Hanya dirimu yang bisa membuatku tenang
Tanpa dirimu aku merasa hilang
Dan sepi.
Aku tersenyum. Sedap juga suara Sharifah ini.
Dalam keasyikan membuai perasaan mendengar lagu yang
kononnya ditujukan khas untukku itu, hatiku berdetik tibatiba.
Aneh mendengar suara riang Sharifah menyanyi lagu
Dealova. Lebih aneh apabila Sharifah seakan ingat
keseluruhan lagu itu. Hebat juga budak ni. Tak sangka dia
hafal lagu tu. Selalunya bukan main susah dia nak hafal lirik
lagu. Aku berpaling, melihat Sharifah menyanyi-nyanyi
sambil memegang kertas yang aku cetak tempoh hari. Tidak!
Aku menjerit sambil berlari ke arah Sharifah.
Sharifah tergelak sambil mengangkat tangan, cuba
menyelamatkan kertas yang berada di tangannya.
“Bagi akulah!”
Sharifah tergelak lagi. Untuk beberapa ketika kami
berebutkan sehelai kertas sebelum akhirnya Sharifah
mengalah. Kertas itu diletakkan di tapak tangan aku. Aku
menarik muncung, sambil bergerak ke sofa dan merebahkan
badan ke situ. Kertas yang sedikit keronyok itu aku pandang.
“Itulah yang rahsia sangat tu ya?” Sharifah bersuara
sambil melabuhkan punggung ke sofa, berhadapan
denganku.
Aku menjeling sekilas.
“Romantiknya dia! Kau tak rasa apa-apa ke masa
baca kata-kata indah tu? Ditujukan khas pada kau pulak tu?
Kalaulah Azman layan aku macam ni… bahagianya aku!”
Aku cuma memandang tingkah Sharifah yang
tergedik-gedik itu. Budak ni, memanglah suka sangat
berangan.
“Diya… aku tanya ni!” Sekali lagi Sharifah bersuara.
Aku mengeluh perlahan. Kalau aku tak rasa apaapa,
takkanlah aku dah jadi angau macam ni, Sharifah oiii.
Kata-kata itu cuma melantun di dalam hatiku. Tidak
kuluahkan pada Sharifah. Sudahnya, aku mencapai kusyen
lalu menutup wajah. Pura-pura tidur. Penat mahu melayan
bicara Sharifah seterusnya. Semuanya nanti pasti berkisar
tentang Si Charming. Kalau boleh aku tidak mahu fikir pun
tentang lelaki itu saat ini. Satu-satunya lelaki maya yang
berjaya mengetuk hati perempuanku. Ingatkan perasaan itu
indah. Rupa-rupanya cukup menyakitkan. Di sebalik rasa
bahagia yang aku rasa sekarang, bagai ada selumbar yang
menyucuk hati. Entah kenapa, tidak pula aku tahu.
“Diya… aku tanya ni, jawablah!” Sharifah bersuara
sambil menarik kusyen yang menutup wajahku.
Aku mengeluh lagi sambil bangkit daripada
berbaring. Wajah Sharifah kutatap untuk seketika.
“Entahlah… aku tak tahulah!” Akhirnya aku
bersuara lemah.
“Laaa… kenapa pulak? Aku cadangkan kau jumpa
aja dengan Charming tu. Nampaknya dia macam serius aja.
Kau cubalah dulu... bukan rugi apa-apa pun. Yang kau takut
sangat dengan lelaki ni, kenapa?”
“Siapa cakap aku takut? Aku tak takutlah. Kau ni,
pandai-pandai aja!”
“Aku yakin Si Charming ni serius dengan kau.
Banyak kali dia YM aku tanyakan kau tau. Tunjuk perasaan
konon! Kau tunjuk perasaan… tapi aku tengok macam
makan hati aja.”
“Kalau aku layan dia, aku lagi makan hati, tahu tak?”
“Kenapa pulak? Senang aja. Dia nak jumpa, kau
pergi ajalah. Bukan buat apa-apa pun. Kalau kau tak berani
pergi sorang, aku boleh temankan. Aku pun nak juga kenal
dengan jejaka yang seromantik ni. Mesti dia tu macam Prince
Charming kan?”
Aku merenung tajam wajah Sharifah. Tinggi pula
imaginasi minah ni.
“And… banyak kali dia call aku tau!” Suara Sharifah
kembali serius.

“Call kau? Apa dia nak?”
“Dia minta nombor telefon kau.”
“Kau bagi tak?”
“Mestilah tak! Pada hal mulut aku ni gatal nak bagi.
Kesian dia Diya… banyak kali dia mintak.”
“Padan muka! Sekarang baru nak menggelabah!
Masa aku terhegeh-hegeh, dia jual mahal. Buat aku ni,
macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Aku duk
teringat dia siang malam, tahu tak? Seminggu aku tak lalu
makan. Ada dia kisah? Tak ada pun. Sekarang bila aku belajar
nak lupakan dia, dia buat macam ni pulak. Betul-betul buat
aku rasa terseksa, tahu tak? Sakit hati aku ni, tahu tak?
Pedih…”
“Tahu… tahu… tak payahlah asyik tanya tahu tak…
tahu tak!” Sharifah bersuara separuh bergurau. Barangkali dia
lucu mendengar bicaraku yang berulang-ulang itu.
“Tapi, kan aku dah cakap. Salah kau juga. Jumpa
tak nak. Nombor telefon pun kedekut. Cuba open sikit. Kau
ni, tertutup sangat. Get what I mean?” sambung Sharifah
sedikit serius.
Aku buat muka bodoh sambil menatap skrin
televisyen yang bercerita sendirian.
“Kau nikan... aku tak tahulah nak cakap apa. Nak
kata choosy sangat, masalahnya, senarai boyfriend langsung
tak ada. Nak kata kau tak cantik… cantik. Nak kata tak ada
orang nak… bersepah lelaki yang duk tunggu kau. Tu, Johan
supervisor kat assembly tu, dah setahun tunggu kau.
Sekarang ni pulak, aku tengok Encik Firdaus pun macam ada
apa-apa aja dengan kau. Tu belum masuk budak Bangla
dengan Nepal tu lagi. So, apa lagi yang kau tunggu ha?”

“Entahlah Sherry. Aku takutlah…” jawabku
perlahan. Sudah lama Sharifah tidak menyentuh hal lelaki
denganku.
Sharifah mengeluh. Perlahan dia bergerak
mendekatiku. Memeluk bahuku sambil berdeham.
“Apa yang kau takutkan? Ini lumrah hiduplah.
Kecil, besar, bercinta, berkahwin. Then ada anak. Lepas tu
cucu. Lepas tu, tua. Kau mesti lalui tu semua.”
“Aku takut kalau semuanya sama macam Abang
Kamal.”
Sharifah mengeluh lagi.
“Kau tak boleh samakan semua lelaki dalam dunia
ni, dengan Abang Kamal tu. Tak semua lelaki macam tu la.
Berapa ramai lagi lelaki baik dalam dunia ni. Kenapa kau
asyik duk ingat dia? Buang masa kau aja. Cuba alihkan
perhatian kau pada lelaki lain. Johan ke… Encik Firdaus ke…
Charming ni ke… mesti kau sedar, masih ramai lagi lelaki
baik dalam dunia ni. Percayalah cakap aku!”
“Senanglah kau cakap. Bukan kau lalui semua tu.
Aku tak boleh lupa apa yang dia buat kat aku. Sampai bilabila
pun aku takkan lupa!”
“Dah tu, sampai bila-bila pun kau tak nak bercinta?
Tak nak kahwin? Kau ni,” bicara Sharifah terhenti di situ.
Telefon bimbitnya yang menjerit memaksa dia mematikan
bicara.
Sharifah bangkit. Menuju ke meja komputer.
Telefon bimbit di sebelah keyboard dicapai. Senyum mekar di
bibirnya.
Aku turut tersenyum. Buah hati telefonlah tu!
Sharifah berlari ke arahku dengan lagak riang yang agak luar
biasa. Membuat aku dijentik rasa resah. Resah melihat
keriangan teman karibku itu. Janganlah keriangan itu
membawa berita ngeri buatku.
“Charming call. Dia nak cakap dengan kaulah!”
Hampir terloncat aku di sofa. Mampus! Kan betul
telahanku. Memang berita ngeri! Mana aku nak menyorok ni?
Tak nak! Aku tak nak cakap dengan dia!
Sharifah menghulurkan telefonnya.
Aku menggeleng laju. Gila!
“Jawablah! He’s on the line ni.”
“Cakap ajalah aku dah tidur,” ujarku perlahan sambil
bangkit dari sofa. Aku mesti masuk ke bilik. Menyorok
daripada Sharifah, juga Charming. Walaupun aku tahu
Charming memang tidak akan nampak aku di situ.
“Dah! Menggelabah pulak! Jawab ajalah.”
Aku jegilkan mata pada Sharifah. Kurang asam
punya budak. Ada ke cakap macam tu. Kalau Charming
dengar, malulah aku.
Sharifah menghulurkan telefonnya sekali lagi.
Dan sekali lagi jugalah aku menggeleng laju. Apa
aku nak cakap dengan dia? Mesti nanti macam orang bodoh.
Sharifah mengeluh geram. Sudahnya dia mencapai
tanganku. Telefon diletakkan di atas tapak tanganku.
“Jawab!” arahnya bagai mak orang.
Aku ternganga. Habislah aku kali ni.
Sharifah berlalu semula ke komputer, meninggalkan
aku bersama telefonnya dan Charming di hujung talian.
Bagai tidak percaya, insan yang sedang menunggu aku
menjawab panggilan saat ini adalah Charming. Dalam
gugup, telefon aku lekapkan ke telinga. Debar di dada hanya
Tuhan sahaja yang tahu. Silap-silap boleh bisu aku malam ni.
“Helo…”
Aku terduduk. Bagai mahu luruh jantung
mendengar suara itu. Buat kali pertama aku mendengar
suara lelaki yang aku puja. Dalam terpaksa aku harus akui,
indahnya perasaan ini. Walaupun aku berusaha untuk
membuang nama lelaki itu, namun perasaan ini terlalu indah
untuk aku singkirkan begitu sahaja. Kelu. Sungguh aku kelu
mendengar suara itu. Bergetar perasaanku.
“Helo. Ada orang ke tak ni?”
Bibirku bergetar. Haruskah aku menjawab?
“You? Ada ke tu?”
“Ada!” Cepat bibirku menjawab. Cepat juga
tanganku menutup mulut. Kantoi! Maknanya, kenalah aku
teruskan perbualan ini. Apa yang hendak dibualkan?
“Apa yang menggelabah sangat?” soalnya dengan
suara yang cukup merdu di telingaku. Argh! Malunya... kan
dah cakap, dia dengar.
“Errr… tak ada apalah. Tak ada apa-apa…”
Terdengar gelak halus yang membuat jantungku
makin kencang berdegup. Tiba-tiba wajahku terasa
membahang. Entah kenapa suasana yang dingin tadi, tibatiba
bertukar hangat. Panas. Mungkinkah disebabkan
degupan jantungku yang terlalu kencang ini?
“You dapat e-mel I tu?”
“Dapat. Terima kasih,” jawabku malu-malu.
“Terima kasih aja?”
Aku terpaku lagi. Itu sajalah. Aku nak cakap apa
lagi? Cakap lebih-lebih karang, buat aku malu sendiri aja.
Entah-entah lirik lagu tu, cuma untuk menyindir aku. Tak
mungkin perasaannya begitu terhadapku. Kalau aku…
betullah. Aku rasa aku ni, dah tahap jatuh cinta!
“About that words, I serius. I tak main-main.”
Gulp! Biar betul! Macam mana dia tahu apa yang
sedang bermain di kepalaku ini? Dan, betul ke dia serius?
Sudahnya aku tergelak. Gelak sumbang.
“Kenapa lama offline? You tahu I cari youkan? Balas
dendam ya? Atau merajuk?”
“Tak adalah. Busy sikit sekarang ni. Tak ada masa,”
bohongku dengan nada tenang. Harap-harap memang
kedengaran tenanglah.
“Macam bohong aja…”
“Betul. Tak bohong. Sibuk sikit.”
“I call you? Give me your number!”
“Phone I tengah chargelah. Dalam bilik,” bohongku
laju.
“Macam-macam alasan you ya? Nak jumpa, tak nak.
Nak call, tak boleh. Nak YM pulak, busy…” kedengaran suara
di sana mengeluh.
Aku tersengih. Mendapat sedikit keselesaan untuk
menyambung bicara dengan Charming. Dia yang bertanya.
Jadi, kerjaku cuma jawab soalan. Tak payah nak pecah kepala
fikir idea nak berborak. Dengan santai aku bersandar ke sofa.
“Just give me the number. I’ll call. Tak seronoklah
pakai phone kawan you. Entah-entah dia pun tengah tunggu
panggilan.”
“Errr… I tak hafal nombor I. Tak apalah. Dia tak
kisah. Lagipun dia tengah layan YM dengan boyfriend dia.”

“Alasan. Tapi, sebenarnya you tak nak bagikan? Tak
apa… I akan cuba sampai berjaya. Sebab I rasa, you ni, is the
one for me. So, I’ll try sampai berjaya.”
Aku tergelak lagi. Yalah tu! Janganlah kau
permainkan perasaan ini wahai lelaki.
“Miss call I. Lepas tu I call you. Please… jangan ada
alasan lagi.”
“Okey!” Bagai dipukau aku menjawab.
“Now!”
“Errr... kejap!” Aku mula menggelabah. Kesilapan
besar. Bagaimana aku boleh tersilap cakap?
“I tunggu ni. Okey?”
“Okey…”
Talian terputus. Dan aku termangu sendiri. Perlukah
aku memberi nombor telefonku? Kalau dia cuma ingin
mempermainkan perasaanku, bagaimana? Telefon Sharifah
kuletakkan di atas meja. Dan, deringan telefon bimbitku
menarik perhatian. Segera kucapai. Mak! Sukanya hati. Dan
aku menjawab panggilan itu sehingga kulupa janjiku pada
seseorang….

14 comments:

Anonymous said...

romantiknya sama cama aku alami sekarang...
perlukah kita terima seseorang itu??
hanya kerana kenal dlam chat..
confius...

msue said...

try la knl de..
mmg xsume y kite knl dlm ym nie baik..
tp ad jgk y baik..
n i meet my love in in ym =)

Anonymous said...

tapi jgn cepat percaya..macam saya...kene tipu ngn sorg mamat nih..xbaik sungguh..

Anonymous said...

ala ala..meet love in ym..macam sweet je :)

Anonymous said...

yup..
x smua laki dlm chat jahat tau...
i pun jumpa my lover dlm chat room jgk..n now..plan 4 wedding...

Anonymous said...

yer..tak sume lelaki dlm cahtters room ni jahat..citer mmg ader sikit2 kena ngan i....sungguh touching..buat teringat jer...huuuhhh

princess_aida said...

hmmm.... saya ni.... satu kelas dengan dia.
kami tak pernah bercakap apabila satu hari kami mula chat di fb dan bkn ym....
ntah la.. bila dapat chat dengan dia..
hilang semua kesedihan dan bertambah kegembiraan di dalam hati saya

Anonymous said...

btoi 2...ym ni ade y bek n y buwok tp kwn sy knl suami dia mlalui ym..now dh bhgia...so sweet kn..can i be like that huhu

Anonymous said...

i pun kenal some1 melalui ym..i know i da jth cinta kt die..die pun mgaku hal yg sama..tp mslhnye die takut nk bcinta..i da tk tau nk myakinkan dia mcmne yg i btul2 ikhlas..i really2 luv him

Anonymous said...

i pn knl kt ym...=)

Anonymous said...

i pun knal my hubby from ym.. happily ever after.. mmg before bnyk jugak kene tipu tp take it as mainan perasaan je.. hehe.. tp dsebabkan sy ni ym tegar so mmg xleh stop ym even smpai skng.. :)

Anonymous said...

sya ske nvell niey..
p.sYA XD DWT NK BLI..SO BCE KT CNIE JE..
sdey nyerr..
syaa nk bce smp abes,,

FaraMISS Kejam said...

delova..my fev song

Anonymous said...

Dear friends, actually I alami benda yg sama. Mmg sweet and rs mcm dunia ni kte n dia punya! I kenal dia di WeChat. And guess what, we are official in relationship (C.O.U.P.L.E). I mmg rindukan dia bila dia xsms or call mcm Ugly Betty rindukan Charming. Tp kdg2 tu, Im a bit confused dgn dia. I tkut dia syg kte secara dlm sms but in reality, x. Itu yg buat I tkut untk berkenalan dgn lelaki yg xkenal. I mmg sygkn dia so do him.But, Im afraid. So, any tips for me? thanks -AQ

Post a Comment

Pembelian Secara Online

Anda Boleh membeli secara online melalui ((klik disini))