.

Biarlah YM Berbicara - Bab 6 3:29 PM

ARE you okay?”
Soalan Sharifah secara tiba-tiba itu membuatkan
aku tersentak. Pen di tangan terpelanting ke lantai. Ruparupanya
cukup lama aku mengelamun. Fail yang kuambil,
rupa-rupanya masih terletak elok di atas meja. Tak berusik.
Sharifah tersengih sumbang melihat aku
terperanjat besar menanggapi sapaannya. Mungkin sudah
bersedia untuk dimarahi. Perkara wajib yang akan aku
lakukan setiap kali dia membuat aku terperanjat. Namun,
tiada kata-kata marah yang keluar dari mulutku. Tiada
keinginan untuk memarahi sesiapa. Apa yang bersarang di
hati lebih membuat aku susah hati. Membuat aku gundah
gulana.
Sharifah menongkat dagu di mejanya sambil
matanya bulat memandangku.
“Any problem?” soalnya dengan wajah cukup
bersimpati.

Aku menjeling. Sudah tahu lagi mahu tanya ke?
Padahal tiap-tiap malam sejak kebelakangan ini, dia melihat
muncung aku yang sikit punya panjang setiap kali telefonku
berdering.
“Abang Kamal?” tekanya bersama senyuman kecil
yang menguntum di bibir.
Aku mengeluh perlahan sambil bersandar di kerusi.
“Siapa lagi?” ujarku pendek. Jeritan telefon
bimbitku, memendekkan lagi bicara. Aku menjengah. Abang
Kamal. Aku mengeluh berat. Kenapalah lelaki ini tidak pernah
mahu mengerti yang aku tidak sukakan dia lagi? Telefon
kubiarkan menjerit sendirian.
Sharifah sekadar memandang. Tidak lagi bertanya.
Pasti dia juga sudah tahu siapa gerangan pemanggil yang
berjaya membuat mukaku berkerut seribu. Yang berjaya
membuat mukaku menjadi cuak semacam. Setelah lama
menjerit, akhirnya telefonku diam. Tetapi, cuma seketika.
Jeritan yang lain pula menyentap kalbu. Sistem pesanan
ringkasku menerima pesanan. Dengan malas aku mencapai
juga telefon yang minta dipegang itu. Membuka pesanan
yang dihantar.
Abang kat luar. Keluar cepat. Kita lunch sama.
Abang tunggu ni.
Aku ternganga. Gila! Betul-betul gila.
“Kenapa Diya? Macam nampak hantu aja aku
tengok,” tegur Sharifah pelik.
Aku pandang wajah Sharifah tanpa berkelip.
Telefonku kuhulurkan padanya.

Sharifah mencapai, kemudian membaca pesanan
daripada Abang Kamal. Sekarang matanya pula membulat
memandangku. Sekarang baru kau tahu kenapa muka aku
macam nampak hantu. Sebab memang hantu pun yang
sedang menungguku di luar.
“So, macam mana?”
Aku cuma menjongket bahu. Mana aku tahu!
“Takkan kau nak biarkan dia tunggu kau kat luar
tu?
Aku jegilkan mata pada Sharifah.
“Takkan kau nak aku keluar dengan dia? Gila apa
kau ni?" soalku geram. Kalau dengan Si Charming pun aku
tak nak jumpa, apatah lagi dengan makhluk Tuhan yang
paling aku benci ini.
“Bukanlah keluar dengan dia. Tapi, pergilah jumpa
dia kejap. Cakaplah kau dah makan ke, tak boleh keluar ke…
sekurang-kurangnya tak adalah dia duduk aja kat luar tu.”
“Tak naklah aku!”
“Tak bolehlah macam ni. Pergi ajalah kejap.”
Telefonku berdering sekali lagi.
Sharifah menatap skrin telefon yang masih berada
di tangannya.
“Abang Kamal lagi. Better kau pergi jumpa dia
kejap. Suruh dia pergi.”
“Masalahnya, aku takut. Aku takut nak jumpa dia!”
“Kalau kau takut, dia akan ambil kesempatan atas
kau. Percayalah cakap aku. Kau mesti berani. Berani
melindungi diri kau sendiri. Cubalah… aku tahu kau boleh
buat!”

Aku menjeling marah. Senanglah kau cakap,
Sharifah oiii. Kau tak lalui apa yang aku lalui, bentak hatiku.
Syarifah tersenyum. Tetapi, kali ini senyumannya
seperti membakar semangatku. Senyuman pendorong untuk
aku jadi lebih berani.
Aku terdiam sejenak. Mungkin Sharifah betul.
Sudah sampai masanya untuk aku menjadi lebih berani. Aku
mesti lawan ketakutan yang membaluti jiwaku sekian lama.
Ketakutan yang menjarakkan aku dengan kaum Adam. Aku
mesti kuat. Tapi, cukup kuatkah aku untuk melakukan
perubahan itu?
“Apa lagi? Pergilah! Dah tiga kali dia call kau ni.”
“Kalau dia paksa aku macam mana? Dia suka paksa
orang.” Aku bersuara lemah. Tiba-tiba sahaja semangatku
yang berkobar-kobar tadi hilang entah ke mana. Yang tinggal
cuma rasa gerun untuk berhadapan dengan Abang Kamal.
Sharifah mengeluh panjang. Tajam matanya
merenung wajahku. “Kau bukan budak kecik lagi. Kau dah
cukup dewasa untuk melawan dia. Kau berhak membuat
keputusan kau sendiri. Lagipun, dia tu siapa nak paksa-paksa
kau?”
Aku mengangguk perlahan. Dalam situasi tertentu,
pendapat Sharifah boleh juga dipakai. Perlahan-lahan aku
mengangkat punggung. “Aku pergi ni. Kau doakan aku jadi
orang berani ya?”
Sharifah tergelak. “Selama ni, orang yang takut nak
jumpa kau. Hari ni, terbalik pula ya?”
Aku mencebik sambil mula mengatur langkah
dengan perasaan yang bercampur-baur. Ada rasa takut. Ada
rasa marah. Ada rasa geram. Ada rasa benci. Yang banyaknya,
rasa takut. Aku cukup gerun mahu berhadapaan dengan

Abang Kamal. Tapi, kalau dibiarkan, mungkin telefonku akan
terus menjerit hari ini.
“Kuatkan semangat. Aku yakin, Malaysia boleh.
Kau… aku tak tahulah,” ujar Sharifah bersama gelak kecil.
Loyar buruk pulak minah ni! Aku cuma tersenyum
kelat. Dengan langkah yang berbelah bahagi, aku pergi juga.
Melihat dari jauh, seorang lelaki segak berdiri di
sebelah motosikal berkuasa tinggi. Semakin hampir, terasa
degupan jantungku semakin kencang.
Sebuah senyuman yang cukup lebar menghias
seulas bibir merah jambu yang ditemani sedikit kumis nipis.
Entah kenapa, senyuman itu tidak nampak manis di
mataku. Abang Kamal sudah agak berbeza penampilannya.
Sudah sedikit kemas berbanding enam tahun dahulu. Juga
sudah agak berisi berbanding dengan tubuhnya yang kurus
melidi suatu masa dahulu.
“Lama abang tunggu. Sibuk ke?”
Itulah ayat pertama yang menyentuh gegendang
telingaku. Aku cuma memandang wajah itu tanpa perasaan.
Abang Kamal nampak begitu gembira. Dia menghulurkan
helmet padaku. Aku tidak bereaksi.
“Abang buat apa kat sini?” soalku dingin.
“Kan abang dah cakap. Abang nak ajak Tiha keluar
lunch.”
“Saya tak nak.”
Wajah Abang Kamal sedikit berubah. “Tiha…
kenapa ni?”
“Saya sibuk. Banyak kerja nak buat. Lagipun saya
dah makan dengan kawan saya tadi.”

“Lain macam aja bunyinya. Macam tak suka aja
abang datang.”
Aku pandang wajah Abang Kamal yang kelihatan
sedikit tegang. Memang itulah Abang Kamal. Suka membuat
keputusan sendiri dan tidak suka dilawan. “Memang saya tak
suka abang datang sini. Saya tak suka abang ganggu hidup
saya.”
Bulat mata Abang Kamal menikam mataku. Dan
aku? Aku rasa macam tidak percaya dengan diriku sendiri.
Akukah yang baru menuturkan kata-kata itu? Tiba-tiba aku
berasa bangga pada diriku sendiri. Tak sangka aku punya
keberanian untuk melawan Abang Kamal. Betul kata Sharifah,
aku sepatutnya mencuba sebelum menyerah kalah.
“Tiha dah jadi kurang ajar sekarang ya?”
Aku menentang renungannya. Aku kurang ajar?
Bukankah dia lebih kurang ajar daripadaku? Berani dia
bercakap tentang kurang ajar. Aku menarik muka masam.
Abang Kamal pula, tersandar pada motosikal besarnya.
“Kenapa Tiha jadi macam ni?” soalnya dengan suara
yang sangat serius. Juga dengan pendangan yang sangat
serius.
Aku membuang pandang. Dia ingat dia seorang
saja yang boleh buat serius? Aku pun boleh!
“Abang yang buat saya jadi macam ni. Dan jangan
sesekali nak cakap saya kurang ajar. Kalau pun ada yang
kurang ajar, orangnya ialah abang, bukan saya!” ujarku tajam.
Beraninya aku! Dalam diam hatiku melonjak riang.
Wajah Abang Kamal yang serius, perlahan-lahan
mengendur. Mungkin dia tahu apa yang aku maksudkan. Dia
mengeluh perlahan sambil melurut rambutnya yang disikat
rapi.

“Tiha masih tak dapat lupakan apa yang pernah
berlaku dulu ya?” soalnya lembut.
“Abang ingat, saya ni apa? Boleh lupakan semua tu
macam tu saja? Tak mungkin bang. Saya tak akan lupakan
perbuatan abang tu. Kesannya pada saya terlalu pahit, bang!”
“Abang minta maaf. Abang tahu abang salah.
Abang tak pernah berniat nak buat semua tu. Lagipun itu
semua dah lama berlalu. Masa tu, abang terlalu muda Tiha.”
“Itu bukan alasan. Saya pun tak ada masa nak
dengar alasan abang. Saya ada kerja. Baik abang pergi
sekarang. Dan jangan datang lagi ke sini. Jangan jumpa saya
lagi. Saya tak nak jumpa abang!”
“Tiha… please. Jangan buat abang macam ni. Dari
dulu Tiha tahu sayang abang kat Tiha macam manakan?”
Abang Kamal bersuara sambil mencapai jari-jemariku.
Dengan pantas aku merentap tanganku.
Sentuhannya mengingatkan aku pada perbuatannya suatu
masa dahulu. Dan aku tidak mahu mengingati itu semua.
“Dari dulu juga abang tahu perasaan saya pada
abang macam mana. Tapi, abang tetap memaksa hingga
abang sanggup nak menodai saya. Saya tak akan lupakan
semua tu. Kerana perbuatan abang, sampai sekarang perasaan
takut tu menyeksa hidup saya!”
“Abang tak sengaja... abang menyesal. Abang
lakukan semua tu, sebab abang tak nak kehilangan Tiha.
Abang terlalu sayangkan Tiha...”
Aku membuang pandang. Alasan! Tidak kuasa aku
mendengar sebarang penjelasan daripada lelaki itu.
“Okeylah. Saya banyak kerja ni. Baik abang pergi
sekarang!” putusku.

Abang Kamal tidak berkata apa-apa. Cuma
renungannya menikam mataku.
“Saya pergi dulu,” ujarku sambil mengatur langkah
memasuki kawasan kilang tempat aku bekerja.
“Abang pergi. Tapi, tu tak bermakna abang
mengalah. Abang tahu abang pernah melakukan kesalahan
pada Tiha. Abang akan cuba tebus kesalahan tu!”
Kata-kata itu aku biarkan hilang bersama debu
yang ditiup angin tengah hari itu. Aku terus berlalu
meninggalkan Abang Kamal.
“Ayoyo adik Diya… dating ke?”
Suara sumbang itu menarik perhatianku. Aku
berpaling. Seorang mamat Nepal tersengih memandangku
sambil memegang plastik hitam berisi sampah. Mamat ni
memang nak kena. Aku tengah angin, nak buat ramah pulak.
“Banyak hensem aaa tu abang,” katanya sambil
tersengih.
Aku kerutkan kening. Geram pula melihat mukanya
yang tersengih-sengih itu.
“You datang sini mahu bikin apa ha?” soalku
dengan wajah mencuka.
Mamat Nepal tersengih sambil mengangkat plastik
sampahnya. “Buang sampah juga… adik manis.”
“You buang sampah pakai tangan ke pakai mulut?”
ujarku geram.
Mamat Nepal gelak lagi.
“Pakai tangan la adik Diya. Mulut untuk makan
juga,” balasnya masih bersama senyuman meleret.
Hai, mamat ni… memang menyakitkan hati
betullah! Aku berpaling. Meneruskan langkah menuju ke
arah pejabat. Malas hendak melayan mamat Nepal yang tidak
faham bahasa itu.
“Itu aaa… lain tada. Mesti gaduh punya. Jangan
risau adik manis, sikit jam lagi mesti dia pujuk punya…”
Hai! Mamat ni, dah lebih. Memang nak kena basuh
mamat Nepal ni. Aku berhenti mengejut dan berpaling. Buk!
“Adoi!” jeritku sambil tunduk menekan dahi.
Sakitnyaaa….
“Sedap ke?”
Satu suara bertanya. Dan pertanyaannya itu betulbetul
menambahkan rasa geram di hati. Ada ke tanya sedap
ke?
“Sakit siot!” ujarku geram sambil menggosok dahi.
Aku mendongak sambil menggosok dahi. Betulbetul
sakit. Dan melihat siapa gerangan berada betul-betul
di hadapanku, membuat aku ternganga. Sakitku hilang sertamerta.
Yang tinggal kini, hanya rasa takut kerana mulut
celuparku dengan mudahnya memaki bos sendiri. Tidak!
Encik Firdaus… maafkan saya Encik Firdaus. Jangan marah
saya yang kerdil ini. Habislah aku kali ni!
Encik Firdaus tersenyum.
“Marah nampak,” ujarnya bersama senyum manis
yang menguntum. Rupa-rupanya aku terlanggar Encik
Firdaus. Macam mana dalam sekelip mata, dia boleh berada
di belakangku? Sebaik sahaja aku berpaling, dahiku selamat
bertembung dengan dagunya. Sakitnya Tuhan saja yang
tahu. Tapi, itu semua salah aku juga.
“Maaf encik… saya tak sengaja. Sakit ke?” Dalam
kelam-kabut dan malu yang amat sangat, aku bertanya
sambil secara spontan jari-jemariku menggosok dagunya.
Tindakan refleks yang amat bodoh. Dan aku cuma menyedari
tindakan bodoh itu tatkala aku terasa jari-jemariku berada di
dalam genggaman Encik Firdaus. Membuat aku kaku
seketika.
Bulat mataku memandang wajah Encik Firdaus.
Lelaki itu turut sama merenungku. Membuat wajahku
membahang tiba-tiba. Membuat jantungku berdegup
kencang juga secara tiba-tiba. Baru aku sedar betapa
dekatnya jarak antara kami. Begitu hampir sehingga haruman
minyak wangi yang dia pakai melekat di hidungku. Aku
terpanar. Kenapa perasaanku cukup berbeza? Sentuhan Encik
Firdaus membuatkan aku rasa bahagia. Kenapa perasaannya
tidak sama dengan sentuhan Abang Kamal?
“Ek hem… Encik Firdaus memang suka kalau
accident macam ni, Adiya!”
Suara itu tiba-tiba mencelah, mengganggu detikdetik
indah luar biasa yang baru aku alami. Juga
menyedarkan aku, bahawa bukan hanya aku dan Encik
Firdaus sahaja berada di situ.
Bagaimana aku boleh tidak perasan dengan Kak
Lisa yang tercegat di sebelah Encik Firdaus. Malunya!
Encik Firdaus turut berdeham, sambil cuba
mengukir senyum. Kali ini aku dapati, amat payah untuk
Encik Firdaus mengukir senyum padaku.
“Are you okay?” soal Encik Firdaus sambil
menyentuh dahiku yang masih terasa sakit.
Aku tersengih sambil bergerak ke belakang.
Jemariku di dalam genggamannya kutarik perlahan. Segan
pada Lisa, setiausaha Encik Firdaus yang dari tadi tersenyum
meleret melihat drama aku dan Encik Firdaus. Juga malu
apabila mendengar gelak kuat mamat Nepal yang menjadi
punca amarahku. Menjadi punca kemalangan ini.
Encik Firdaus berpaling ke arah tawa sumbang itu.
Namun, pegangan tangannya tidak dilepaskan.
“Yes? Anything funny, Damodar?” soalnya serius.
“Nothing, sir. Sorry!” balas lelaki itu sambil terus
berlalu.
Padan muka! Namun, aku perasan masih ada sisa
tawa yang dibawa bersama. Dan, Encik Firdaus… bila nak
lepaskan tangan saya ni? Aku bertanya sendiri.
“Merah dahi awak. Ni, kena tuam ni.”
Encik Firdaus bersuara sambil mengelus perlahan
dahiku. Alahaiii… janganlah macam ni Encik Firdaus. Ini dah
macam drama romantik rupanya ni.
Encik Firdaus mengelus perlahan dahiku sambil
menggenggam erat jemariku. Aku tak tahu apa yang dia rasa
saat ini. Tapi, yang aku pasti, perbuatannya itu membuat
jantungku seperti mahu meledak. Janganlah buat saya jadi
perasan, Encik Firdaus.
“It’s okay, Encik Firdaus. Salah saya. Saya minta
maaf. Saya tak hati-hati,” ujarku sambil menarik tanganku dari
genggamannya.
Dengan perlahan dia leraikan pegangannya, sambil
matanya masih menikam mataku.
Macam tak nak lepas aja, hatiku berbisik sendiri.
Menyedari renungan mata Encik Firdaus masih juga jatuh ke
wajahku, aku tunduk. Kenapa lain benar pandangan Encik
Firdaus kali ni? Silap hari bulan boleh pengsan aku di situ.
“Jangan lupa tuam dahi tu. Nanti benjol, nak
bersanding tak cantik.”

Aku tersengih. Aduhai Encik Firdaus. Sempat kau
buat lawak denganku? Tidakkah kau tahu perasanku saat ini?
Bergelora bagai taufan menyapa lautan.
“Saya pergi dulu. Kak Lisa, saya pergi dulu,”
pamitku.
Kak Lisa tersenyum panjang dan Encik Firdaus pula
merenung panjang. Merenung siapa? Merenung akulah! Itu
yang buat aku nak cabut cepat-cepat. Sebelum aku perasan
lebih-lebih, baik aku pergi dari situ. Dalam pada melayan
debar dek layanan Encik Firdaus, tiba-tiba aku teringatkan
Charming.
Maafkan saya Charming. Saya cuma suka sikit saja
kat bos saya ni. Itupun sebab semua orang suka kat dia, saya
pun rasa macam nak suka juga la. Tapi, hati saya tetap kat
awak. Walaupun saya tak kenal awak… teringatkan Charming
aku jadi lupa pada Abang Kamal. Jadi lupa pada Encik
Firdaus. Senyum manis tiba-tiba terukir di bibir.

17 comments:

bLues_InN said...

hahahahah cita ni menarik..bnyk dialog2 yg buat sye gelak...nak2 time dialog nepal dgn diya mmg funny..

Unknown said...

hihihihhihi boleh wat kita pulak yg menghadapi situasi ni. kira mcm penghayatan yg menyusuk jiwa, wah wah wah......

s0MeBoDY@mE90 said...

hehehe how romantic sukenyer....
cam nk jer ganti tempat diya 2
ha3 jgn marah.......

Anonymous said...

adui...
cari kat kedai.
dh tkde buku tuw..
huhhuh

Anonymous said...

hm....how romantik..
best r lau dpt jadik mcm tu jgak
hehe...

Azie Aril said...

sweet scene laa mse nih... x sngka plak tetiba leh brlaku scene terlanggar ngan bos dia... bgus laa cter ni... lain yg dijangka, lain yg brlaku... huhu..

ayu said...

bab ni teringat saat mula2 jatuh cinta...indahnye dunia.....ayat2 dlm cite ni selamba dan mampu membawa kita berada di dalam watak dgn perasaan yg berbunga2

Anonymous said...

best arrr citer ni... :-)..

Anonymous said...

huhu... kn bez kalau saya jd diya... =)

Anonymous said...

hahahahaaa..mmg best...kelakar habis....

purplenme said...

hahaha..sakit siot! ske pkataan ni..lawak.. :p

Putri Salju said...

HAHAHA...besnyer...so romantik...hahaha,.....

Anonymous said...

hm...saya dapat merasakan yang encik Firdaus tu sebenarnya si Charming

Anonymous said...

saya rase encik firdaus tu mmg charming tu..saya suka..saya suka...romantik sgt2

Andika Sunan Musafir said...

hahahahaha....aku gelak je kat opis bace nie sampai bos pun ekut bace sbb dgr aku gelak....hahahaha...nsb tak kene marah....

ika pyka said...

hmmm..kl0 aq agk charming ngan en.firdaus tu 0rg yg same, bt0l ker..???

FaraMISS Kejam said...

ensik firdaus 2 romantik,..i like..i thought he is the charming..is he?

Post a Comment

Pembelian Secara Online

Anda Boleh membeli secara online melalui ((klik disini))